Tip Melancong: Bercuti bersama warga emas

KEBANYAKAN pasangan lebih gemar menghabiskan cuti bersama isteri dan anak-anak namun bagaimana jika ada warga emas yang mahu turut sama?

Warga tua itu mungkin ibu bapa, datuk, nenek atau moyang. Ramai memberi alasan tidak mahu membawa warga tua kerana usia dan kesihatan yang mungkin memerlukan perhatian.

Cuba bersikap positif dan ubah tabiat ini kerana ia akan menjadi pengalaman yang menyeronokkan jika semua ahli keluarga turut serta.

Oleh itu, tip ini mungkin berguna bagi mereka yang melancong bersama warga emas.

1. Lakukan pemeriksaan kesihatan
Seiring dengan usia sudah pasti warga tua mempunyai pelbagai penyakit yang harus diberi perhatian terutama penyakit yang serius seperti sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan asthma.

Pemeriksaan doktor membolehkan anda mengetahui tahap kesihatan warga tua dan bersedia dengan pelbagai ke mungkinan sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

2. Bekalan ubat
Setiap penyakit mempunyai ubatnya tersendiri dan tidak sama dengan ubat yang diterima sekiranya dirawat oleh doktor yang berbeza.

Pastikan bekalan ubat-ubatan mencukupi lebih daripada jangka masa percutian agar dapat mengatasi masalah sekiranya kesihatan yang dialami berlarutan.

Setiap pek ubat perlu dilabel dengan teliti agar tidak timbul kekeliruan terutama di saat kecemasan.

3. Bekalan vitamin dan makanan tambahan
Selain ubat-ubatan yang disediakan klinik dan hospital, anda harus prihatin dengan vitamin dan makanan tambahan yang diambil warga tua.

Setiap vitamin mempunyai fungsi dan tindak balas tersendiri, justeru awasi jumlah pemakanan setiap vitamin kerana sudah tentu anda tidak mahu orang yang disayangi mengambil makanan tambahan secara berlebihan yang boleh mengundang risiko.

4. Jaga pemakanan
Penyakit tiga serangkai – sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi sering dikaitkan dengan faktor pemakanan yang diambil secara berlebihan.

Anda harus membantu ibu bapa yang disayangi agar tidak mengambil makanan berkolesterol tinggi seperti daging kambing, minuman manis dan gas yang boleh menyebabkan kesihatan mereka berkurangan.

Pengambilan makanan yang tidak dikawal juga menjadi faktor wujudnya penyakit lain.

5. Banyakkan minum air
Umum mengetahui air dapat membantu tubuh manusia daripada berlakunya penyahhidratan terutama ketika berada di negara empat musim, oleh itu banyakkan minum air agar tidak ditimpa penyakit serta mudah berasa letih.

Namun, sebaik-baiknya ialah air putih atau mineral dan bukan minuman mengandungi gula dan gas.

6. Ambil makanan secukupnya
Sebelum bergerak ke mana-mana, pastikan keluarga dan warga tua anda menyuap sedikit makanan untuk mengelak perut mereka dimasuki angin.

Sediakan makanan secukupnya untuk sarapan, makan te ngah hari dan makan malam agar warga tua mempunyai tenaga untuk mengikuti percutian bersama anda.

Perut kosong menyebabkan seseorang itu mudah muntah dan mendapat gastrik.

7. Rehat
Perjalanan jauh membuatkan seisi keluarga berasa letih kerana terlalu lama di dalam kenderaan.

Jika memandu, berhentilah di setiap perhentian untuk berehat seketika dan berasa segar ketika meneruskan perjalanan.

Warga tua juga memerlukan lebih banyak rehat selain ingin ke tandas atau ke surau.

8. Pakaian
Ketika melancong ke luar negara, pastikan baju yang dibawa sesuai dengan cuaca dan iklim negara dilawati terutama di negara empat musim.

Kita mudah mendapat penyakit seperti selesema, demam dan batuk apatah lagi warga tua jika tidak mempunyai pakaian yang mencukupi atau yang tidak bersesuaian.

Anda pasti tidak mahu menghabiskan wang semata-mata ingin membeli pakaian tebal atau terpaksa berjumpa doktor kerana kesilapan anda sendiri.