Terbaik buat pengunjung

Hotel Grand Sentosa mudahkan tetamu beli-belah, santai dan berhibur

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

MULA beroperasi pada 2011, Hotel Grand Sentosa dibina di tengah-tengah pusat komersial dan membeli-belah Johor Bahru.

Terletak di laluan strategik Lebuh raya Tebrau memudahkan pelancong yang menginap di hotel ini menerokai bandar Johor Bahru.

Malah, ia hanya mengambil masa 10 minit untuk tiba di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Aktiviti melancong sambil membeli-belah lebih mudah dilakukan kerana hotel ini terletak di pusat membeli-belah Plaza Sentosa.

Ia dianggap hotel kelas perniagaan kerana menempatkan gedung perniagaan yang memberikan pelbagai kemudahan membeli-belah, hiburan serta tarikan makanan.

Hotel Grand Sentosa menjanjikan penginapan mewah dan menyeronokkan dengan 260 rangkaian bilik serta suite daripada superior king, superior twin, deluxe king, deluxe twin, bilik suite dan bilik keluarga.

Sebanyak 80 unit superior king ditawarkan untuk pasangan yang ingin menikmati keindahan di bandar Johor ini manakala superior twin dengan 125 unit pula untuk pengunjung ‘backpacker’ kerana suasana bilik yang santai dan ringkas.

Turut mencuri tumpuan adalah bilik keluarga yang mempunyai 18 unit sesuai untuk seisi keluarga yang ingin bercuti ketika musim cuti sekolah.

Bilik penginapan dipenuhi dengan gaya hidup moden yang sesuai dengan persekitaran perniagaan dan pelancongan.

Setiap bilik dilengkapi kemudahan mengakses jalur lebar Internet berkelajuan tinggi, telefon IDD, penyaman udara, televisyen paparan cecair kristal (LCD), pancuran bilik mandi, pembancuh kopi dan teh serta meja kerja yang luas.

Polisi utama hotel ini adalah menitik beratkan keselamatan pengunjung, justeru semua bilik dilengkapi peti keselamatan elektronik.

Jika lapar, kunjungi Coffee House Sentosa Deli yang menyediakan masakan bufet dan ala carte untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.

Grand Sentosa sentiasa memberikan yang terbaik buat pengunjungnya, justeru kemudahan rekreasi dan hiburan tidak diabaikan.

Kanak-kanak pastinya terhibur dengan pelbagai jenis permainan yang disediakan di Zon Kanak-kanak dalam Plaza Sentosa. Pusat karaoke, bistro, pusat urut dan spa sesuai untuk pengunjung ingin bersantai dan merehatkan minda.

Fasiliti lain seperti kemudahan meletak kereta di 700 tempat, pakej lawatan, bilik simpanan bagasi dan perkhidmatan teksi.

Dengan mengunjungi Plaza Sentosa, pengunjung tidak perlu bergerak jauh sekiranya ingin membeli-belah.

Selain itu, lokasinya berdekatan Singapura membuatkan hotel ini sentiasa mendapat perhatian pelancong tempatan yang gemar membeli-belah di negara jiran itu.

>>INFO:

Lokasi: Plaza Sentosa, Jalan Sutera, Taman Sentosa, Johor Bahru
Tel: 07-331 5888
Web: http://www.grandsentosahotel.com