SEDAP...Hoo menikmati makanan Johor di Hotel Sunway Putra.

‘Jom Makan Besor’

Ekstravaganza Budaya dan Makanan Johor di Hotel Sunway Putra

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

SEDAP…Hoo menikmati makanan Johor di Hotel Sunway Putra.

TIDAK perlu bersusah-payah ke Johor jika teringin me nikmati masakan yang enak dan lazat dari negeri di selatan tanah air itu.

Justeru, bagi memperkenalkan budaya, masakan dan kraf tangan negeri itu, Pelancongan Negeri Johor dengan ker jasama Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur mengadakan Ekstravaganza Budaya dan Makanan Johor sempena Citrawarna 2012.

‘Jom Makan Besor’ di coffee house Hotel Sunway Putra berlangsung bulan ini hingga 3 Jun ini dengan menyediakan masakan Johor untuk bufet tengah hari dan makan malam.

Exco Negeri Johor, Hoo Seong Chang, berkata usaha sama dua pihak itu mampu memperkenalkan adat, budaya dan makanan istimewa negeri Johor kepada pelacong.

“Johor sebagai ‘pintu selatan ke Malaysia’ terkenal di dalam eko-pelancongan, pelancongan agro dan pelancongan sukan malah hub kepada perniagaan, hiburan dan pengangkutan.

“Peluang memperkenalkan Johor tidak semestinya hanya tertumpu di dalam negeri, justeru inisiatif harus diambil bagi menggalakkan ekonomi tempatan dan luar negara,” katanya.

Masakan Johor turut dipengaruhi aroma Arab dan negara maritim Asia Tenggara seperti Brunei, Singapura, Indonesia dan Filipina.

Oleh itu, pelancong boleh menemui pelbagai masakan dan hidangan menarik seperti nasi beriani gam iaitu nasi yang dimasak dengan herba dan dimakan bersama daging atau ayam.

Nasi ambeng antara yang menarik, dihidang bersama acar rampai, ayam goreng berempah, rendang daging, sambal goreng tempe, ikan masin dan sambal belacan. Ia dihidang di atas daun pisang.

Hidangan lain termasuk ayam kuzi, ayam kerutup, daging bahmia, otak-otak gelang patah, singgang ikan tongkol masak pedas dan telur pindang.

Nikmati juga laksa Johor yang pasti menambat selera dengan keharuman ikan yang dimasak dengan santan kelapa dan dihidangkan dengan timun, potongan bawang besar, taugeh, limau, daun pudina, daun kesum serta sambal belacan.

Jika ingin menikmati lontong, mi rebus Muar dan mi Bandung yang dihidangkan bersama mee kuning, telur serta tomato, jangan lupa singgah di Hotel Sunway Putra.

Pencuci mulut ialah ais kacang atau air batu campur (ABC), pisang salai dan ubi kayu rebus gula Melaka.

Pengunjung juga dihidangkan dengan tarian tradisional Johor menerusi joget, zapin, kuda kepang dan nyanyian keroncong.

Beberapa kraftangan popular seperti kompang, rebana dan tudung saji diperkenal dan dijual kepada orang ramai.