BANYAK...minum air secukupnya agar sentiasa bertenaga. - Gambar hiasan

Tip Melancong: Panduan kembara wanita hamil

Rancang perjalanan supaya keselamatan anda terjamin, seronok tiba ke destinasi

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

BANYAK…minum air secukupnya agar sentiasa bertenaga. – Gambar hiasan

AGAK sukar bagi seorang ibu yang gemarkan kegiatan lasak atau mengembara ke serata tempat untuk meninggalkan aktiviti itu.

Dalam situasi sedang mengandung, bakal ibu harus berfikir lebih mendalam untuk melakukan pelbagai aktiviti terutama jika ingin berjalan jauh.

Pelbagai perkara harus dirancang dengan teliti agar perjalanan anda lebih terjamin dan keselamatan kedua-duanya diutamakan.

Ikuti tip berkenaan agar anda tidak mudah mengalami masalah dan bersedia dengan apa juga perkara yang tidak diingini.

1. Lakukan pemeriksaan kesihatan
Bakal ibu biasanya mengalami masalah ‘morning sickness’ setiap hari sehingga pada satu tahap masalah pening kepala dan muntah ini akan berhenti dengan sendiri.

Lakukan pemeriksaan doktor agar dapat menangani masalah ini dan perhatian diberikan kepada penyakit yang serius.

Pemeriksaan doktor membolehkan anda mengetahui tahap kesihatan diri dan anak dalam kandungan sekali gus bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

2. Bawa buku lawatan antenatal
Buku lawatan antenatal juga dikenali sebagai buku merah jambu perlu dibawa ke mana saja anda pergi.

Sama ada pulang ke kampung atau bercuti dengan perjalanan jauh, buku ini perlu dibawa bersama sebagai persediaan.

Malah, doktor menggunakan buku ini sebagai rujukan kesihatan anda.

3. Bekalan ubat
Setiap penyakit mempunyai ubatnya tersendiri dan tidak sama dengan ubat yang diterima sekiranya dirawat oleh doktor yang berbeza.

Pastikan bekalan ubat-ubatan mencukupi lebih daripada jangka masa percutian agar dapat mengatasi masalah sekiranya kesihatan yang dialami berlarutan.

Label pek ubat dengan teliti agar tidak timbul kekeliruan di saat kecemasan.

4. Keperluan bayi.
Ke mana saja anda pergi, pastikan satu beg barang di sediakan khusus bagi keperluan bayi.

Andai kata anda bersalin awal, suami tidak pening menyediakan segala keperluan apatah lagi mencari barang bayi sewaktu bercuti di negara orang.

5. Banyakkan minum air
Air sangat penting agar dapat mengelakkan badan anda mengalami penyahhidratan.

Dalam situasi mudah penat dan tertekan, bakal ibu digalak banyakkan minum air agar tidak ditimpa penyakit serta mudah berasa letih.

Sebaik-baiknya minumlah air putih atau mineral dan bukannya minuman mengandungi gas dan gula yang tinggi.

6. Banyakkan bergerak
Lakukan senaman ringan seperti bangun dan berjalan ke tandas atau regangkan pinggang sekiranya duduk terlalu lama dalam kenderaan atau pesawat.

Senaman ringan ini boleh mengelakkan anda mengalami kekejangan atau sengal otot.

7. Kenal pasti pengangkutan
Apabila kandungan mencecah lima bulan ke atas, bakal ibu tidak dibenarkan menaiki kapal terbang bagi mengelakkan sebarang risiko.

Sekiranya terdesak, lakukan pemeriksaan dan dapatkan surat pengesahan doktor sebagai bukti anda sihat untuk terbang.

8. Jaga kulit
Krim pelindung matahari yang menawarkan SPF tinggi mampu membantu melindungi kulit daripada pancaran matahari.

Cari krim sesuai dengan jenis kulit apatah lagi sekiranya anda mempunyai masalah kulit jika terdedah terlalu lama kepada cahaya matahari.

9. Pakaian
Jika melancong ke luar negara, pastikan baju yang dibawa mencukupi dan bersesuaian dengan cuaca dan iklim negara dilawati terutama di negara empat musim.

Anda pasti tidak mahu menghabiskan wang kerana terpaksa membeli pakaian tebal atau berjumpa doktor atas kesilapan sendiri.