USJ 01

Syurga hiburan kanak-kanak

USJ sedia 28 fasiliti pelbagai permainan menarik

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my
(Yang mengikuti lawatan perasmian Wizarding World of Harry Potter di Osaka, Jepun, baru-baru ini)


‘YOKOSO e Nihon’ atau Selamat Datang ke Jepun mengiringi kedatangan media Malaysia ke Universal Studios Jepun (USJ).

Menjejakkan kaki ke negara matahari terbit itu membuatkan penulis berfikir mengenai ‘dasar pandang ke timur’ yang pernah diperkenalkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tidak hairan mengapa kita perlu menurut jejak kemajuan yang dikecapi dalam masa yang singkat kerana segala-galanya ada di sini termasuk sebuah taman tema terkenal di dunia.

USJ adalah satu daripada empat taman tema di dunia – Universal Studios Orlando, Universal Studios Hollywood, Universal Studios Singapura namun ia dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh USJ Co Ltd.

Terletak di Konohana, Osaka, taman tema ini mula dibuka pada 31 Mac 2001 yang menghimpunkan pelbagai permainan dan hiburan sesuai untuk semua golongan.

Pada tahun pertama operasinya, lebih 11 juta pelancong ke USJ berbanding taman tema yang lain dan kebanyakan dari beberapa negara Asia seperti Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong.

USJ mempunyai lebih daripada 15 tarikan utama yang boleh dibahagikan kepada dua iaitu pertunjukan dan tunggangan.

WaterWorld, Terminator II 3D, Backdraft dan Shrek Adventure 4D dikategorikan sebagai tarikan persembahan.
Manakala, tarikan tunggangan merangkumi Back to the Future, The Amazing Adventure of Spiderman, Jurassic Park serta Hollywood dream.

Kesemua tarikan yang terhimpun di sini berdasarkan daripada filem atau cerita dongeng seperti Spiderman, The Mummy, Pink Panther, Sesame Street, Back to the Future dan Jaws.

Ia membolehkan pelancong merasai sendiri keseronokan filem berunsur khayalan dan sains fiksyen yang diterjemahkan ke alam permainan dan hiburan.

Pengalaman ini menobatkan ia sebagai destinasi percutian sekeluarga dan lokasi pilihan pasangan yang gemarkan pengembaraan berbentuk hiburan.

Untuk kanak-kanak, sebuah kawasan dikenali Universal Wonderland yang dibuka pada Mac 2012 pastinya menarik perhatian.

INDAH…suasana malam di USJ.

Ia umpama syurga hiburan kanak-kanak kerana menempatkan pelbagai permainan menarik dengan 28 fasiliti termasuk tarikan permainan, kedai dan restoran.

Berkeluasan 30,000 meter persegi, Universal Wonderland mempunyai beberapa permainan yang ditempatkan di zon berdasarkan filem dan maskot tertentu.

Snoopy Studios Zone mempunyai enam jenis tarikan daripada Flying Snoopy hinggalah Snoopy Studios Store.

Hello Kitty Fashion Avenue Zone yang bertemakan merah jambu pasti memukau pengunjung dewasa yang gemarkan maskot ini.

Beberapa tarikan lain termasuk Sesame Street Plaza, Elmo Imagination Playland dan Sesame Central Park.

Pelancong yang pernah menonton filem ‘The Mummy’ pastinya ingin menerokai Muzium Mummy yang dibuka dari April hingga Julai 2012 sempena ulang tahun Universal Pictures ke-100.

Mempunyai dua laluan – Imhotep Mansion dan Resurrection of Anubis, kedua-duanya memberikan pengalaman menakutkan.

Justeru, hanya pelancong yang tidak takut dan tidak mempunyai penyakit jantung dibenarkan masuk.

USJ turut mengadakan keraian bersama pelancong mengikut musim tertentu seperti Hari Krismas. Suasana taman dihiasi dengan pokok dan lampu krismas, persembahan Parti Salji dan bermesra dengan Santa Claus.

Pada masa yang sama, USJ turut mengumumkan membuka sebuah lagi taman hasil kerjasama USJ dengan Warner Bros dan Universal Parks & Resorts.

RASMI…Gumpel (dua dari kiri) bersama pelakon filem Harry Porter, merasmikan Wizarding World of Harry Potter.

‘Wizarding World of Harry Potter’ (WWHP) yang siap sepenuhnya 2014 dijangka menjana lebih 480,000 peluang pekerjaan di Jepun.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif USJ, Glenn Gumpel, berkata beberapa kajian dan perbincangan dijalankan bagi mengenal pasti impak positif dan negatif terhadap orang ramai.

“Selain menyediakan peluang pekerjaan, ia memberi hasil lumayan kepada sektor pelancong di Osaka dan Jepun umumnya.

“WWHP di USJ dibina seperti mana di Universal Orlando Resort. Istana Hogwarts, perkampungan Hogmeade dan pelbagai kawasan menarik bakal dibina dalam taman tema ini.

“Komitmen yang jitu diberi bagi melahirkan sebuah kawasan seperti dalam filem Harry Porter termasuk menerima sentuhan Pereka Pengeluarannya, Stuart Craig.

Turut hadir, Presiden Produk Konsumer Warner Bros, Brad Globe dan Presiden Pembangunan Perniagaan Global, Universal Parks & Resorts, Michael Silver serta Gabenor Osaka, Ichiro Matsui selain James dan Oliver Phelps iaitu pelakon kembar filem Harry Porter yang dijemput bagi melancarkan pembinaan WWHP.

Penulis turut dibawa melawat sekitar Osaka oleh Biro Pelancongan dan Konvensyen Osaka dalam bagi mempromosikan negara matahari itu.

Tempat menarik yang perlu dilawati antaranya Menara Tsutenkaku yang menjadi simbol kepada Osaka Lama, menyusuri Sungai Tombori selama 20 minit dan menjengah Namba Park yang menghimpunkan pelbagai pusat membeli-belah di selatan Osaka.

Pelancong juga pasti mahu mencuba membuat udon di restoran Miyoshiya. Udon yang dihidangkan bersama sup atau kari adalah makanan tradisional dan popular di Jepun.

Arigato Gozaimas!

KENANGAN…media bersama kakitangan USJ di depan Universal Monsters Live Rock and Roll Show.

>>INFO:

> Universal Studios Jepun
Tel: 00 81 6-6465-3000
Web: http://www.usj.co.jp/e

> AirAsia X menawarkan penerbangan ke Osaka empat kali seminggu dari Kuala Lumpur.
> Ia adalah destinasi kedua selepas Tokyo.
> Penerbangan ini mempunyai 12 destinasi antarabangsa dalam enam negara iaitu Jepun, Korea, Taiwan, Australia, China dan Iran.
> Maklumat penerbangan ke Osaka boleh dilayari di http://www.airasia.com.