PADAM...ahli bomba cilik dilatih memadam kebakaran di sebuah hotel.

Didik anak jadi kreatif

KidZania beri kanak-kanak teroka 80 aktiviti permainan bagi merasai pengalaman dunia pekerjaan

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

PADAM…ahli bomba cilik dilatih memadam kebakaran di sebuah hotel.

UMPAMA syurga, KidZania Kuala Lumpur merealisasikan impian kanak-kanak yang mahukan dunia ilhamnya ibarat seperti orang dewasa.

Berkeluasan 7432.30 meter persegi merangkumi dua tingkat, ia terletak di lokasi The Curve NX bertentangan pusat membeli-belah The Curve di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Ia menawarkan hampir 80 aktiviti permainan pelbagai peranan dengan penambahan koleksi terbaru membolehkan kanak-kanak menikmati pengalaman dunia pekerjaan.

Schwan-Stabilo Marketing Sdn Bhd dan Kraft Foods (Cad bury), dua gergasi terbaru dalam dunia KidZania Kuala Lumpur yang membolehkan kanak-kanak merasai dunia permainan terbaru.

Menariknya ia membabitkan Schwan-Stabilo Arts dan Crafts Studio serta Cadbury Chocolate Factory.

Sekali gus membolehkan kanak-kanak menzahirkan seni kreatif dengan mempelajari cara-cara membuat kraftangan sendiri atau meneroka dunia memproses pembuatan coklat kesukaan mereka.

KidZania turut memperkenalkan tujuh interaktif iaitu Sushi King Sushi Bar, SeaMaster Bottling Plant, Oreo Cookie Factory, Z-Mart, Allianz Insurance Company, Secret Agent dan penubuhan Air Conditioning System sekali gus memperkenalkan aktiviti serta profesion baru.

Beberapa keseronokan ditambah di bar sushi, kilang botol dan kilang biskut bagi mempelbagaikan peranan dalam industri makanan serta minuman di KidZania.

Kanak-kanak berpeluang mempelajari ilmu penyediaan makanan yang bersih dan proses dalam penyediaan barangan makanan.

Menerusi penambahbaikan seperti pasar raya dan syarikat insurans, kanak-kanak boleh memilih sama ada untuk meminjamkan kepakaran mereka dalam dunia pekerjaan atau bertindak sebagai seorang pelanggan.

Contohnya di syarikat insurans, kanak-kanak boleh membeli polisi insurans untuk melindungi kepentingan diri atau memainkan peranan sebagai ejen insurans.

Jika inginkan cabaran, kanak-kanak berpeluang untuk menjadi Ejen Rahsia KidZania dengan menjalani ujian fizikal.

BAYI…belajar mengasuh bayi di hospital asuhan KidZania.

Merasakan diri lebih kreatif bolehlah mencuba aktiviti baru yang ditawarkan penubuhan Honda.

Kanak-kanak boleh mempelajari ciri-ciri yang ada pada Honda Insight Hybrid dan mereka bentuk model kenderaan sendiri dengan menggunakan perisian canggih.

Mereka juga diberi sebuah model kereta mini yang boleh dilukis berdasarkan reka bentuk kereta sendiri.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Themed Attractions and Resorts Sdn Bhd, YM Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin, berkata penambahbaikan terbaru itu meningkatkan lagi pengalaman pendidikan di KidZania.

Pada masa sama membolehkan kanak-kanak ini mempelajari pelbagai perkara menarik umpama berada di dunia realiti.

“Perkara ini menggalakkan lagi suasana persekitaran sebenar di KidZania membolehkan kanak-kanak meneroka dunia pekerjaan, memilih profesion dan pada masa yang sama berseronok dengan pilihannya.

“Kanak-kanak digalakkan untuk mencuba aktiviti terbaru ini selain mendapat manfaat daripada pembelajaran di se kolah, tetapi turut menanam nilai kreatif dan inovatif serta memperlihatkan kepentingan aktiviti kokurikulum.

“Menerusi nilai kepemimpinan di KidZania, kami berharap dapat mewujudkan pengalaman sebenar untuk dunia pe kerjaan akan datang, sekali gus memberi inspirasi supaya menjadi individu yang lebih berkeyakinan dan kreatif,” katanya.

Kanak-kanak turut didedahkan kepada kepentingan dan fungsi ekonomi dengan konsep mendapatkan wang, menabung serta menyimpan dengan menggunakan mata wang KidZania.

Aktiviti di KidZania bukan saja untuk merasai pengalaman sebenar, malah ia turut mengajar kanak-kanak kemahiran pengurusan kewangan melalui fungsi ekonomi yang diguna dalam kehidupan seharian.

Maklumat lanjut layari http://www.KidZania.com.my atau melalui Facebook di http://www.facebook.com/KidZaniaKualaLumpur.