AirAsia X ke Byron Bay

Destinasi terbaru ke New South Wales beri pengalaman percutian menarik

JAMU…labuhkan punggung di kafe yang menghidang pelbagai makanan.

AUSTRALIA menawarkan pelbagai destinasi percutian menarik, antaranya taman tema, kasino, pantai atau membeli-belah di Gold Coast.

Kini, anda boleh bercuti dengan penuh keriangan apabila AirAsia X menawarkan pelancongan jimat ke dua destinasi pada satu harga.

Perjalanan terbaru diperkenalkan ke New South Wales memberi pengalaman bagi percutian serba baru.

Di utara New South Wales terletak Byron Bay iaitu perkampungan dan bandar dengan pelbagai nilai sejarah.

Pasar tempatan, makanan organik, seni dan budaya serta suasana sekitar di kawasan ini masih kekal keasliannya.

Pelancong berpeluang menghayati keindahan matahari terbit di atas puncak Gunung Warning atau Wollumbin.

Anda boleh menikmati pemandangan kawah gunung berapi yang masih terpelihara di Australia Green Cauldron.

Bersantai di tepian pantai Pacific Coast dan nikmati luncuran ombak hebat yang melahirkan legenda peluncur Australia, Bob McTavish.

Byron Bay kini mencuri tumpuan sebagai icon percutian terbaru di Australia dengan pelbagai aktiviti.

Deretan pilihan minuman tidak menghampakan dengan jenama teh dan kopi yang dihasilkan secara tradisional.

Inginkan suasana yang lebih santai, hotel dan rumah peranginan menawarkan spa kesihatan serta percutian mewah di kawasan berbukit, lembah dan kawasan pedalaman.

Ayuh, tempah AirAsia X dan hayati percutian ke Byron Bay yang penuh santai sambil bermandikan matahari di tepi pantai, meredah hutan, membeli barangan antik dan terokai di kawasan penuh dengan khazanah.