Tip Melancong: Tempah tiket lebih awal

Selain menjimatkan anda boleh menilai dan membeli pakej percutian yang bersesuaian dengan perancangan

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

GEMBIRA…membawa keluarga bercuti di lokasi jauh pasti menyeronokkan.

APABILA tiba musim cuti sekolah, ibu bapa paling sibuk untuk membawa anak-anak dan keluarga bercuti.

Percutian yang tidak dirancang lebih awal amat merugikan apabila harga penginapan dan tiket pengangkutan naik mendadak berikutan permintaan tinggi.

Ketika inilah, pelbagai persiapan perlu diatur supaya percutian yang dirancang tidak terhalang dan tergendala.

Lebih baik jika dapat membeli tiket pengangkutan dan menempah penginapan dengan lebih awal supaya dapat menjimatkan kos.

Cuba ikuti tip ini supaya anda dapat mengatur perbelanjaan dan masa serta keperluan lain dalam suasana selesa selain pulang dengan kenangan manis.

1. Pilih tarikh
Jika cuti sekolah hanya seminggu, pastikan tarikh yang dipilih tidak bercanggah dengan keraian utama seperti majlis kesyukuran atau majlis perkahwinan.

Pastikan juga ahli keluarga – suami, isteri atau ibu bapa tidak terikat dengan aktiviti lain pada tarikh yang dipilih.

Lebih sesuai jika anda memilih tarikh berkenaan dua ke tiga bulan lebih awal bagi tujuan tempahan tiket.

2. Belanjawan
Harga tiket penginapan sama ada di hotel, inap desa dan apartmen servis naik mendadak ketika musim cuti sekolah.

Begitu juga dengan tiket penerbangan, kereta api, feri dan pengangkutan lain.

Kenaikan harga dianggarkan meningkat hingga 50 peratus berbanding kadar biasa.

Oleh itu, buatlah anggaran yang sesuai dengan kewangan anda supaya dapat menampung percutian seisi keluarga ini.

3. Destinasi
Berbincanglah dengan pasangan anda lokasi yang sesuai untuk meraikan percutian seisi keluarga.

Lokasi percutian perlu bersesuaian dengan kewangan dan aktiviti yang ingin dilakukan sekeluarga.

Pastikan juga lokasi terbabit sesuai untuk bayi atau anak-anak kecil kerana keselesaan aspek utama bagi mereka.

Tak salah berbelanja di luar negara, namun negara kita mempunyai banyak tempat menarik yang harus dilawati sama ada pulau, taman negara, taman tema, gunung, tempat bersejarah dan kawasan peranginan tinggi.

Justeru, bawalah anak-anak anda mengenali keindahan yang tersembunyi di negara kita ini sebelum meraikannya di negara orang.

Selain menjana ekonomi masyarakat setempat, anda juga dapat berjimat tanpa menukar wang ke mata wang asing.

4. Cuaca dan bencana alam
Jika anda sekeluarga memutuskan destinasi yang ingin dikunjungi, usah lupa info musim atau perubahan cuaca di lokasi berkaitan.

Sekiranya memilih melancong di kepulauan, pastikan mak lumat mengenai banjir, hujan, ribut petir diambil kira sebelum memulakan perjalanan menaiki bot.

Dapatkan maklumat mengenai gempa bumi, letusan gunung berapi atau runtuhan salji sekiranya mahu membawa keluarga tersayang mendaki gunung.

Adakalanya anda tidak tahu bila kejadian yang tidak diingini bakal berlaku dan sebagai langkah selamat dapatkan maklumat lengkap daripada pemandu pelancong.

Ini kerana pemandu pelancong lebih memahami kedudukan dan keadaan cuaca serta tempat pelancongan.

5. Tempah
Menempah awal adalah perkara yang amat digalakkan sekiranya anda sudah pasti dengan senarai di atas.

Selain menjimatkan kos penerbangan dan penginapan, anda bolehlah membuat persiapan lain yang memudahkan per jalanan anda sekeluarga.

Ketika ini juga, anda boleh menilai dan membeli pakej percutian yang bersesuaian dengan perancangan anda.

Jangan lupa, tawaran yang murah hanya terbuka sebelum mulanya percutian dan bukannya di saat akhir percutian.