Berkayuh sekitar Raub

400 peserta meriahkan Program Cuti-Cuti 1Malaysia Sunday Bike Ride @ Raub

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my
Gambar Khairul Azfnizan Mokthtar

KAYUH…semangat kesukanan Ng menjadi ikutan seluruh penduduk Raub.

BERKELUASAN 2,270 kilometer persegi, bandar Raub antara lokasi pelancongan di negeri Pahang yang memiliki pelbagai khazanah menarik untuk diterokai.

Ia terletak kira-kira 110 kilometer dari Kuala Lumpur atau 265 kilometer dari Kuantan, Pahang.

Ia antara pekan tertua dengan tujuh mukim di bawah kawalannya iaitu Batu Talam, Sega, Semantan Ulu, Dong, Ulu Dong, Gali dan Tras.

Penulis mengunjungi bandar itu sempena Program Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) Sunday Bike Ride @ Raub di Taman Tasik, Raub, baru-baru ini.

Seramai 400 peserta mengambil bahagian dengan berkayuh melalui 10 laluan baru di sekitar bandar itu.

Laluan basikal bermula dari Taman Tasik Raub melalui Jalan Lipis, Kampung Melayu Sempalit, Simpang Felda Krau, Jalan Lipis/Raub, Taman Raub Jaya 6, kawasan perumahan Taman Raub Jaya 5, Jalan Lipis/Raub, Taman Raub Jaya 3, Taman Lee Man dan Taman Melati sebelum menghala ke bandar Raub dan kembali ke taman tasik.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen turut berkayuh sejauh 15 kilometer bersama peserta di sekitar bandar Raub.

CC1M Sunday Bike Ride @ Raub adalah program susulan kepada Pelancaran Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia @ Raub yang dianjurkan pada 6 Mei lalu.

Setiap bulan pada Ahad minggu pertama, bandar Raub menjadi tumpuan pelancong dan penduduk tempatan sebagai destinasi berbasikal yang mampu memberi impak pada kenaikan ekonomi penduduk setempat.

Sebanyak 33 pakej pelancongan berbasikal CC1M diperkenalkan Tourism Malaysia menerusi 21 agensi pelancongan tempatan.

Pada masa yang sama, beliau turut merasmikan Majlis Pelancaran ‘Empower’ Raub di Dewan Jubli Perak selepas meluangkan masa melawat peniaga di pasar minggu bandar Raub.

Seramai 400 pelajar sekolah menyertai kursus Latihan Kemahiran Akademik sejak Januari 2012, manakala 500 peserta dewasa mendaftar untuk program Latihan Kemahiran Keusahawanan.

Namun, secara keseluruhan program empower ini memberi manfaat kepada 10,606 peserta keseluruhannya membabitkan 6,006 pelajar sekolah dan 4,600 peserta dewasa sejak dilancarkan pada 2010.

Katanya, program empower dibangunkan untuk memastikan penduduk di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) termasuk Pahang, tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

“Tumpuan diberikan kepada aspek pembangunan modal insan yang disasarkan kepada tiga bidang latihan iaitu kemahiran spa, kedi dan pemandu pelancong,” katanya.

Ng turut mengalu-alukan ibu tunggal dan pesara mengikuti kursus yang ditawarkan dengan mempromosi produk pelancongan tempatan.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Datuk Jebasingam Issace John, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Datuk Mohamad Ridzwan Mohd Tahar dan Presiden Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia (PKSM) Tan Sri Datuk Dr M Tambirajah.