Berkualiti, pantas, lengkap

The Sterling sentiasa jadi tumpuan pelancong

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

MEGAH…The Sterling di lokasi bandar warisan.

MELAKA diisytiharkan tapak Warisan Dunia Unesco pada Julai 2008 kerana memiliki pelbagai peninggalan dan maklumat sejarah yang berharga.

Kehebatan Kota A’ Famosa, Jonker Street, Stadthuys, Perigi Hang Li Po, Masjid Kampung Hulu dan Muzium Samudera meletakkannya antara tempat yang perlu dikunjungi pelancong di negeri itu.

Destinasi percutian ke selatan itu pastinya lebih lengkap jika pelancong mempunyai tempat penginapan selesa.

Dalam memenuhi keperluan itu, The Sterling yang dibuka pada November tahun lalu menawarkan 37 bilik mewah dengan gaya kontemporari.

Dari Jalan Temenggong, pelancong hanya perlu mengambil masa lima minit berjalan kaki ke Stadhuys dan Jonker Street.

The Sterling menawarkan enam jenis bilik dengan nama menarik iaitu Leyton, Stoke Mandeville, Windsor, Riley, Brighton serta Churchill sebagai pilihan kepada pengunjungnya.

Leyton adalah bilik standard yang sesuai untuk penginapan tidak lebih empat orang.

Nama Stoke Mandeville pula diambil dari sebuah bandar yang memperkenalkan perkhidmatan pemulihan kerusi roda pertama di Britain.

Bilik berkeluasan 26 meter persegi itu menerima tempahan daripada pelbagai golongan terutama pengguna kerusi roda.

Jika bercuti bersama keluarga, bilik Windsor turut menjadi pilihan kerana menawarkan dua katil bersaiz ‘ratu’ dan keluasan 40 meter persegi membolehkan pengunjung menambah sebuah katil sofa.

Selain itu, bilik Riley, Brighton dan Churchill juga menawarkan kemewahan serba lengkap dan selesa serta penggunaan jakuzi di dalam atau luar bilik sambil menikmati keindahan matahari dari balkoni.

Bilik Churchill diperkemaskan dengan ruang tamu dan lounge persendirian yang berkeluasan 46 meter persegi.

The Sterling menyediakan perkhidmatan di dalam bilik seperti peti ais mini, televisyen paparan cecair kristal (LCD), pembancuh teh dan kopi, telefon IDD, surat khabar serta peti keselamatan deposit.

Menyedari kesan pencemaran alam sekitar, The Sterling menggunakan lampu LED yang mampu menjimatkan tenaga hingga 90 peratus dan tahan lama berbanding mentol biasa.

Hotel itu turut menggunakan sistem penyaman udara berpusat yang dialirkan mengikut kesesuaian pelanggan dan cekap tenaga.

Tenaga solar digunakan dalam sistem pemanas air yang memenuhi keperluan air panas di hotel berkenaan.

Ia mempunyai sistem pengumpulan air hujan semula jadi hingga 320 liter untuk tanaman dan pembersihan.

Pengunjung berpeluang meraikan ulang tahun perkahwinan, hari jadi atau makan malam romantis di restoran The Loft yang boleh memuatkan hingga 70 tetamu.

Ruang makan yang selesa dan tenang menghidangkan pilihan menu lazat dari Barat atau Asia.

Bersantai di ruang terbuka di The Balcony dengan menikmati pilihan koktel atau moktel bersama hirisan buah-buahan sambil menyaksikan suasana senja dan kerlipan lampu di bandar Melaka.

Menyediakan perkhidmatan yang berkualiti, pantas dan lengkap, tidak hairanlah The Sterling sentiasa menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.

Perkhidmatannya lain yang disediakan ialah bas pergi balik ke bandar Melaka, tempat letak kereta dan khidmat WiFi.

>> INFO:
> Lokasi: Lot 232, Jalan Temenggong, 75100 Melaka
> Tel: 06-283 1188