Keindahan cahaya, irama lagu di KLIMLF pukau pengunjung

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

HEBAT…pemuzik tempatan dan Barat dikumpulkan di atas
satu pentas.

FESTIVAL Muzik dan Cahaya Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 (KLIMLF) di pusat beli-belah Suria KLCC, baru-baru ini yang bertemakan ‘Keamanan Dunia, keharmonian Dunia, Perpaduan Dunia’, berlangsung meriah dan mendapat sambutan hangat orang ramai.

Ia diadakan sempena penghormatan untuk Malaysia selaku negara pertama di Asia Tenggara yang dipilih tuan rumah Persidangan Gas Sedunia 2012.

Pada masa yang sama, festival terbabit juga sebagai memperingati sambutan Jubli Perak Persidangan Gas Sedunia yang ke-25.

Acara terbesar seumpamanya di negara ini menampilkan pertunjukan cahaya, pertunjukan air mengikut irama lagu, pertunjukan piroteknik dan pertunjukan laser multimedia serta pemetaan tiga dimensi (3D) pada dinding Suria KLCC.

Keindahan cahaya dan irama lagu yang memukau berjaya menarik perhatian orang ramai, rata-ratanya adalah pengunjung pusat beli-belah terbabit.

Kemeriahan festival berkenaan dikongsi bersama oleh segenap lapisan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama malah pelancong asing turut meraikannya.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kebangsaan, Persidangan Gas Sedunia 2012, Datuk Anuar Ahmad, berkata acara berprestij ini mengetengahkan irama muzik dari seluruh dunia.

“Pemuzik tempatan dan antarabangsa dihimpun dan disatukan di atas pentas bagi mempersembahkan genre Muzik Dunia, bersesuaian dengan tema festival.

“Ia memberi peluang kepada orang ramai untuk berehat dan bersantai bersama keluarga selepas penat bekerja seharian,” katanya.

Seramai sembilan pemuzik tempatan dan antarabangsa bekerja keras dalam memperkenalkan irama dari negara masing-masing.

Easternox dari Korea, Mdungu dari Amsterdam dan Saharadja dari Bali, Indonesia manakala pemuzik tempatan diungguli oleh Aubrey Suwito & Friends, AkashA, Aseana Percussion Unit, Amir Yussof Acoustic Project, Geng Wak Long dan Tuku’ Kame’ dari Sarawak.

KLIMLF 2012 bukan saja menampilkan pemuzik yang memenangi anugerah malah turut mempertontonkan teknologi multimedia yang serba canggih menerusi persembahan cahaya, laser dan piroteknik yang menakjubkan.

Festival ini dianggap sebagai pelengkap kepada Persidangan Gas Sedunia yang membicarakan hal perniagaan dan keharmonian dunia dengan lebih serius.