Tip Melancong: Makan angin kos murah

Rancang awal untuk jimatkan perbelanjaan

TERUJA…bercuti di zoo memberi maklumat berguna untuk anak-anak.

CUTI sekolah penggal kedua baru berlalu. Pastikan ibu bapa menghabiskan cuti bersama anak-anak ke pelbagai destinasi di dalam dan luar negara.

Namun, ada ibu bapa mengeluh kerana terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak untuk pengangkutan, penginapan, makan minum serta bayaran ketika di tempat hiburan.

Hakikatnya, tidak susah jika ibu bapa tahu tempat percutian serta cara untuk mengurangkan kos.

Cuba lihat dan praktik petua ini, mungkin sesuai untuk ibu bapa apabila membawa anak-anak atau keluarga bercuti.

1. Rancang awal
Topik ini selalunya diletakkan di tempat teratas apabila ibu bapa berfikir ingin bercuti bersama anak-anak atau keluarga.

Biasakan untuk merancang percutian lebih awal. Sebaik-baiknya enam bulan lebih awal dari tarikh percutian.

Ia memberi banyak manfaat agar ibu bapa sempat memilih lokasi, tempah pengangkutan dan penginapan yang menjimatkan.

2. Rancang kewangan
Biasakan menabung kerana ia melatih diri agar menyimpan wang sekurang-kurangnya RM200 setiap bulan. Ia adalah cara terbaik untuk memperuntukkan wang perbelanjaan yang boleh digunakan ketika bercuti nanti.

Latih anak-anak anda perkara yang sama kerana amalan itu mendidik mereka erti berjimat cermat.

3. Pilih tarikh
Hujung minggu, cuti sekolah atau musim perayaan antara waktu yang boleh dijangka meningkatnya semua kos.

Ia tidak akan membebankan sekiranya anda bersedia dengan membeli tiket penerbangan dan menempah penginapan dengan lebih awal.

Jika ingin bercuti pada waktu terdekat, pilih lokasi dan aktiviti percutian yang mampu mengurangkan kos seperti berkhemah di hutan, memanjat gunung, berkelah di tepi pantai atau air terjun dan melawat tempat bersejarah serta muzium.

4. Pilih penginapan
Anda pasti memerlukan penginapan sekiranya bercuti lama dan membawa keluarga yang ramai.

Cara terbaik adalah memilih tempat penginapan yang bersesuaian dengan bilangan keluarga dari chalet hingga ke pangsapuri.

Pemilihan juga berdasarkan aktiviti percutian yang anda rancang. Selain mengurangkan kos, tidur di dalam khemah pasti aktiviti yang menyeronokkan.

5. Beli barang
Membeli-belah antara tabiat manusia yang sukar dikikis. Pasti ada saja barang yang ingin dibeli sebagai kenang-kenangan namun cuba kawal perbelanjaan anda.

Beli barang yang perlu saja, sukar didapati di negara kita tapi murah.

Hasilnya, anda akan lebih berjimat cermat malah wang yang ditukar masih berbaki untuk dibawa pulang.

6. Sediakan makanan sendiri
Ini antara amalan yang sering ditonjolkan oleh ibu bapa kita dulu. Memang banyak faedahnya apabila anda menyediakan masakan untuk seisi keluarga tanpa perlu berbelanja di luar.

Jika ingin menginap di hotel, pilih penginapan yang sediakan tempat memasak. Anda cuma perlu membawa barang mentah dari rumah sekali gus menjimatkan kos daripada membelinya.

Suasana santai dan menyeronokkan lebih terasa andai kata bercuti dengan cara berkhemah. Bukan saja hanya memasak seperti biasa malah merapatkan lagi hubungan kekeluargaan menerusi acara barbeku.

Jangan lupa bawa bekal dari rumah seperti makanan ringan, snek dan air minuman dalam botol yang boleh dibeli di kawasan anda berbanding di tempat percutian.