Prosat 3

Prosat tabur bakti

Aktif melakukan kerja amal di rumah anak yatim dan rumah kebajikan

Oleh Siti Salmiah A hamid
salmiah@hmetro.com.my

RAI…Timbalan Presiden Prosat Motorsports, Mohd Husni Salimi ketika memberi ucapan.

WUJUDNYA pelbagai persatuan permotoran di Malaysia merancakkan lagi aktiviti kemasyarakatan membabitkan generasi muda.

Dipelopori pemilik dan pencinta kenderaan Proton Satria dan Satria Neo, Prosat Motorsports (Prosat) mula ditubuhkan pada Ogos 2006.

Bermula dengan tujuh sahabat yang ingin menggiatkan lagi aktiviti permotoran, Prosat kini mempunyai 250 ahli di Lembah Klang.

Bahagian Media dan Komunikasi Prosat Kajang, Mohd Amir Farhan Mohd Termizi berkata, Prosat ditubuhkan bagi memartabatkan kereta nasional – Proton Satria dan Satria Neo.

“Negara dibanjiri dengan pelbagai jenama kenderaan luar negara yang memberi persaingan kepada pengeluar dan pengedar kereta tempatan.

“Justeru, kewujudan kelab kenderaan seperti Prosat diharap mampu menarik minat golongan muda memilikinya,” katanya.

Katanya, Prosat sering mengadakan pelbagai aktiviti bermanfaat yang menarik pelbagai lingkungan umur berusia 18 hingga 50 tahun.

Menurutnya, konsep kekeluargaan adalah prinsip yang diguna pakai anggota Prosat. Oleh itu ahli kelab akan membawa semua ahli keluarga setiap kali mengadakan aktiviti.

Ia juga diperkukuhkan dengan nama Prosat itu sendiri yang teguh berdiri tanpa menggunakan perkataan kelab atau persatuan di hadapannya.

Prosat sering melakukan aktiviti konvoi, hari keluarga dan ‘memandu pada hari Ahad’ ke beberapa destinasi pelancongan.

Selain itu, jalinan hubungan sesama kelab permotoran tempatan turut dipertingkatkan melalui cabaran bersukan seperti perlawanan futsal, bola sepak, bowling dan badminton.

Ahli Prosat turut bangga apabila bergiat aktif melakukan kerja kebajikan seperti berbuka puasa di rumah anak yatim, Anak Kesayanganku di Bukit Beruntung pada Ramadhan lalu.

MERIAH…saling berkenalan dan bertukar idea.

“Kami juga mengecat kelas dan asrama, bergotong royong dan mengagihkan barangan makanan menerusi kutipan derma ahli.

Tidak ketinggalan, Prosat merancang menghiburkan anak yatim dari rumah anak yatim Hembusan Kasturi, Klang ke Bagan Lalang, bulan ini,” katanya.

Sebanyak 50 kereta Satria, sebuah bas dan 10 motosikal berkuasa tinggi mengiringi kanak-kanak yatim itu yang bakal dimeriahkan dengan pelbagai hiburan, permainan dan de monstrasi drift dari pihak Speed City KL.

Hubungi Amir di talain 017-4670424 atau Zul 019-6326456 untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti Prosat.