SEGAK...vintaj pakaian lelaki menyerlahkan gaya maskulin.

Pakaian sesuai aktiviti lasak, santai

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

SEGAK…vintaj pakaian lelaki menyerlahkan gaya maskulin.

JENAMA pakaian Jeep antara pilihan lelaki masa kini yang gemar melakukan aktiviti lasak dan santai.

Bagi mereka yang gemar melakukan pengembaraan dan aktiviti luar, miliki pakaian terbaru Jeep yang menampilkan gaya klasik menerusi Koleksi Vintaj Pakaian Jenama Jeep Terbaru 2012.

Tema ‘Live Without Limits’ diinspirasi daripada reka bentuk tahan lasak 1940 dan 50-an, bakal membawa si pemakai kembali merasai kehangatan era masa lalu.

Koleksi pakaian kasual ini memenuhi keinginan lelaki dan wanita yang gemarkan cabaran, malah rekaan yang sempurna sesuai dengan gaya hidup urban yang menggabungkan pel bagai corak dengan mainan warna seperti oren, kuning, biru serta warna asas coklat dan khaki yang menawan.

Padanan berjalur, denim pelbagai warna dan potongan kemas melahirkan imej kreatif dan maskulin.

Pakaian lelaki menyalurkan tenaga positif untuk mereka yang sukakan cabaran dan bercita-cita tinggi.

Rangkaian kemeja-T dalam warna putih, coklat dan arang manakala polo-T klasik direka dengan warna asas yang  menonjol serta sentuhan vintaj dalam jalur oren-merah.

Padanan baju asas dengan baju klasik yang berwarna merah dan perang bersama jaket menyerlahkan gaya lelaki urban.

Reka bentuk vintaj turut diperkenalkan pada seluar pendek dan bermuda menerusi warna terang, kelabu, arang dan coklat manakala denim dan seluar kargo menggunakan warna gelap.

PILIH..pilihan menarik antara jaket hijau dan baju ungu.

Pasangan wanita tidak terkecuali menggayakan pakaian yang memaparkan unsur penuh keyakinan. Koleksi terbaru itu diperbuat daripada kapas berwarna terang dan pastel yang sesuai untuk seluar denim dan khaki.

Pakaian berwarna coklat dan pastel digandingkan dengan warna kuning terang bagi melahirkan imej tahan lasak dan riang namun masih mengekalkan gaya hebat berfesyen.

Si kecil tidak pernah dilupakan dengan lahirnya koleksi kanak-kanak yang lembut dan selesa yang menggabungkan rekaan tahan lasak dan fleksibiliti.

Kemeja-T kelihatan cantik apabila disesuaikan dengan seluar pendek kargo. Polo-T kanak-kanak tidak terbatas pada satu warna. Justeru, semua warna digunakan termasuk warna jalur bercorak manakala konsep ketenteraan dan lasak sesuai untuk kanak-kanak lelaki.

Justeru, pilihan seisi keluarga yang ingin mengembara, melancong dan tampak lebih santai dengan rangkaian pilihan seluar, baju dan jaket Jeep pasti mengujakan.

HIMPUN…denim dan kargo sesuai untuk lelaki dan wanita.