SERONOK...pengunjung menjerit kesukaan sewaktu menaiki GX 4.

Rasai cabaran sukan air

Kelainan aktiviti ditawarkan di Tasik Prima Puchong mampu pikat pelancong

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

RAI…Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din menyampaikan hadiah kepada pemenang Fotografi Terbaik di AWSV.

PUAS memusing stereng kereta, namun tempat yang dicari masih belum ditemui. Sambil melihat jam di tangan, hampir sejam setengah penulis mengelilingi kawasan yang sama.

Agak sukar mencari lokasi tersorok Asian Water Sports Village (AWSV) kerana tiada papan tanda yang menjadi panduan untuk pengunjung di luar kawasan Puchong.

Tourism Selangor menerusi program #TSDayout kali ini menjengah aktiviti sukan air di Tasik Prima Puchong.

Mula diperkenalkan pada April tahun ini, ia adalah satu-satunya pemegang lesen pusat sukan air di sekitar Lembah Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif Asian Water Sports Village Sdn Bhd, Yong Chen Hui, berkata menerusi slogan ‘Play All You Can – Unlimited Rides’, AWSV menggalakkan pengunjung yang meminati aktiviti sukan air menikmati segala hiburan yang disediakan.

Konsep yang dipamerkan adalah berlainan dengan taman tema atau taman hiburan lain di Malaysia.

“Justeru, AWSV memberi peluang kepada masyarakat menikmati hiburan berasaskan sukan air yang belum diperkenalkan dalam industri tempatan,” katanya.

Sebagai pengedar sah tiub ‘towable BRP Sea-Doo’, AWSV berpeluang memperkenalkan peralatan permainan sukan air ini yang didatangkan khas daripada Amerika dan Kanada.

TERUJA…Aquafly mampu terbang tinggi.

Hati melonjak gembira apabila diberi peluang mencuba permainan sukan air yang tiada seumpamanya sama ada di pantai atau taman tema kerana penulis hanya pernah mencuba bot pisang dan jet ski.

Tiga pemain diperlukan jika ingin menaiki Evo Pro yang berwarna biru dan akan ditarik bot berkelajuan sederhana sambil cuba menjatuhkan pemain daripada tiub, GX 4 memerlukan empat pemain manakala tiga pemain untuk Graphic Deck.

Pengunjung pastinya teruja merasai deruan angin ketika menaiki Aquafly yang mampu terbang sewaktu ditarik bot namun tiupan angin banyak memainkan peranan sekiranya berminat mencuba tiub ini.

Katanya, AWSV menerima hampir 1,000 pengunjung setiap hari yang gemarkan aktiviti sukan air ini.

Aktiviti ringan seperti berkayak, memancing, berenang dan bermain layang-layang turut diadakan. Majlis
hari jadi, pesta pantai, hari keluarga dan perkhemahan boleh dilakukan mengikut pakej yang bersesuaian.

Promosi untuk bayaran masuk ketika ini daripada RM39 hingga RM49 seorang.

Pada masa yang sama, Tourism Selangor turut mengadakan pertandingan Fotografi Tercantik bagi menghargai seni dan kreativiti masyarakat.

Program #TSDayout yang dijalankan setiap bulan menerima maklum balas yang menggalakkan daripada penulis blog dan jurufoto menerusi interaksi sosial di Twitter, Facebook dan Instagram.

Setiap bulan Tourism Selangor menerima lebih 100 penyertaan yang ingin mengikuti program #TSDayout yang di adakan di serata Selangor.

Lawati Asian Water Sports Village di Facebook bagi mendapatkan maklumat lanjut.

SERONOK…pengunjung menjerit kesukaan sewaktu menaiki GX 4.