MENARIK...sentuhan moden di lobi ibis Styles.

Selesa di kelas pertengahan

Hotel ibis Styles mampu penuhi keperluan pengunjung

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

MENARIK…sentuhan moden di lobi ibis Styles.

PENGINAPAN serba lengkap dan harga yang berpatutan menarik perhatian pelancong yang mementingkan keselesaan dan kewangan ketika memilih tempat penginapan.

Pengunjung di luar ibu kota kini boleh menikmati peluang ini menerusi pembukaan hotel kelas pertengahan terbaru di Kuala Lumpur.

Pengendali hotel terkemuka antarabangsa, Accor mengumumkan pembukaan hotel ibis Styles Kuala Lumpur Fraser Business Park dan ibis Styles Kuala Lumpur Cheras.

Kedua-dua hotel bertaraf ekonomi perniagaan mula beroperasi bulan ini.

Hotel ibis Styles memperkenalkan keselesaan bertaraf empat bintang bagi memenuhi keperluan pengunjung yang inginkan percutian perniagaan dan keseronokan.

Pengunjung pastinya teruja dengan segala perkhidmatan serta penginapan eksklusif yang didatangkan dengan pakej sarapan dan kemudahan mengakses Internet.

Naib Presiden Kanan Accor Malaysia, Indonesia dan Singapura, Gerard Guillouet, berkata ia adalah jenama hotel antarabangsa ekonomi premium pertama di Malaysia.

“Pengunjung bakal menikmati keseronokan dan kemewahan di dua hotel terbaru dengan salah satunya berkonsepkan antarabangsa.

“Hotel ibis Styles Kuala Lumpur Fraser Business Park yang dibuka pada pertengahan bulan ini menyediakan 500 bilik penginapan.

“Lokasinya yang hanya beberapa minit dari pusat bandar dan lapangan terbang, sesuai untuk semua jenis urusan perniagaan,” katanya.

Selain menikmati keselesaan di bilik tamu, penginapan yang bergaya dan moden ini turut dilengkapi restoran, bar, bilik mesyuarat, kolam renang dan gimnasium.

Ibis Styles Kuala Lumpur Cheras terletak di kawasan komersial dan perindustrian ringan Cheras Selatan, disaluti dengan reka bentuk bertenaga dan fasiliti moden.

Ia didatangkan dengan restoran, bar, bilik mesyuarat yang serba lengkap serta tawaran ekslusif penginapan berserta sarapan pagi dan Wi-fi percuma di 156 bilik tamu.

Kedua-dua hotel dilengkapi prasarana lengkap seperti televisyen paparan cecair kristal (LCD), peti deposit keselamatan, capaian Internet di dalam bilik dan kemudahan lain mengikut piawaian antarabangsa ibis Styles.

Dalama tempoh promosi, hotel ibis Styles akan menghadiahkan 888 bilik percuma menerusi ‘ibis Styles Hour’ dengan harga bilik serendah RM88 ++ termasuk sarapan secara bufet dan Wi-fi percuma.

Tempahan bermula 10 Oktober hingga 8 November ini bagi tempoh penginapan dari 22 Oktober 2012 sehingga 28 Februari 2013.

Jualan pra eksklusif menanti ahli ‘Le Club Accorhotels and Advantage Plus’ dari 5 hingga 9 Oktober 2012. Layari laman web, http://www.ibis-styles-klhour.com untuk maklumat lanjut.