HEBAT...penerjun Australia, Chrif Mc Dougall melakukan terjunan yang disaksikan Zuraidah (kanan) dari Pelantar Terbuka, Menara Kuala Lumpur.

Cabar diri terjun kren

Promosi Menara KL beri peluang pengunjung merasai sukan ekstrim

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

HEBAT…penerjun Australia, Chrif Mc Dougall melakukan terjunan yang disaksikan Zuraidah (kanan) dari Pelantar Terbuka, Menara Kuala Lumpur.

TERJUNAN Antarabangsa Menara Kuala Lumpur (KLTIJM) 2012 yang bermula dari 9 pagi hingga 6 petang menerima sambutan hangat apabila lebih 97 pengunjung mencuba terjunan ‘base’ dari ketinggian 300 meter di Pelantar Terbuka.

Objektif serampang dua mata KLTIJM 2012 adalah untuk mempromosi dan meningkatkan industri pelancongan di Menara KL sekali gus menarik minat masyarakat terhadap sukan ekstrim tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Datuk Zuraidah Mohd Said, berkata tahun ini Menara KL memperkenalkan terjunan base dari atas kren yang memberi peluang kepada semua pengunjung untuk merasainya.

“Dengan ketinggian 312 meter dari aras bumi, terjunan yang dibuat dari TH07 (Kepala Menara 7) dianggap lebih tinggi dari terjunan yang dibuat dari Pelantar Terbuka iaitu 300 meter.

“Acara yang gemilang ini memberi kepuasan dan pengalaman kepada peminat sukan ekstrim.

“Ia turut berpeluang mempromosi sukan terjunan base kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa selain mem perkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan di peringkat antarabangsa,” katanya.

UNIK…umpama kertas bertaburan.

Selain makanan, kemeja-T dan cenderahati, yuran yang dikenakan berbaloi dengan kepuasan yang dinikmati
pengunjung selain isu keselamatan yang dititikberatkan dan sentiasa dipertingkatkan.

Justeru, peluang untuk mencabar perasaan takut dan gayat terhadap ketinggian dimanfaatkan oleh pengunjung yang kebanyakan datang bersama keluarga dan rakan.

Acara yang memasuki tahun ke-12 turut mempamerkan aksi menarik dan mendebarkan daripada 95 penerjun luar negara iaitu dari United Kingdom, Australia, France, Germany, Turki, Mexico, India, Austria, Belarus, Amerika Syarikat, Kanada, Finland, Itali, Jepun, New Zealand, Norway, Portugal, Rusia, Sepanyol, Sweden, Switzerland dan Ukraine.

Tidak terkecuali dua penerjun tempatan, Azuan Taharudin dan Nik Khairul Fahmi Nik Bolia yang menunjukkan aksi berani yang memukau ribuan pengunjung di Menara KL.

Pada masa sama, pengunjung berpeluang melihat secara dekat aksi terjunan dari Pelantar Terbuka di Kepala Menara 5 dengan ketinggian 300 meter.

Peluang keemasan ini membolehkan pengunjung merakam detik indah kehebatan penerjun mengibarkan payung terjun sambil mempamerkan pelbagai aksi luar biasa.

Acara yang berlangsung hingga ke malam ini tidak me ngekang jumlah kehadiran penonton malah lebih ramai penonton sekitar Kuala Lumpur hadir selepas waktu bekerja.

Pada hari penutupan acara gemilang ini, 16 orang penerjun yang terpilih melakukan aksi terjun beramai-ramai atau ‘canopy train jump’ sebagai tanda simbolik Ulang Tahun Menara KL yang ke 16 pada 1 Oktober.

Terjunan base merupakan acara sukan ekstrim yang membabitkan penggunaan payung terjun untuk membuat
lompatan dari objek pegun.

Perkataan base itu sendiri mewakili empat objek yang digunakan sebagai tempat terjunan iaitu bangunan, antena, span dan bumi.

Mengimbas kembali permulaan acara ini, terjunan base diperkenalkan sempena sambutan Ulang Tahun Menara Kuala Lumpur yang ke tiga pada Oktober 1996.

Ia disenaraikan di dalam Malaysia Book of Records kerana mengadakan terjunan base yang pertama di dalam negara dan satu-satunya negara yang menganjurkannya secara sah.

RAI…Pengerusi Menara KL, Datuk Sri Dr Halim Shafie (tengah berbaju kotak) bersama Ahli Lembaga Pengarah Menara KL, Ibrahim Marsidi (duduk di barisan hadapan) meraikan penerjun yang beraksi.