shahzan inn2

Keindahan memukau

Rehatkan minda dengan menikmati kedamaian di Shahzan Inn Fraser Hill

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my
Foto Khairul Azfnizan Mokthtar

INDAH...menginapdi Shahzan Inn Fraser Hill sambil menikmati alam semula jadi.
INDAH…menginap di Shahzan Inn Fraser Hill sambil menikmati alam semula jadi.

KETIKA menjejakkan kaki di kawasan pelancongan ini, suasana begitu tenang dengan kedudukannya di atas Bukit Fraser, Raub, Pahang benar-benar menarik perhatian.

Laluan ke puncak Bukit Fraser pula menggamit kehadiran pelancong dari seluruh dunia untuk menghayati keindahan landskap flora dan fauna yang memukau.

Bagi merealisasi impian pelancong yang cintakan keindahan alam semula jadi, Shahzan Inn Fraser Hill (Shahzan Inn) dibina di kawasan tanah tinggi tropika bagi memberi pe ngalaman berbeza.

Peranginan eksklusif itu diliputi kehidupan alam semula jadi yang tidak terusik dek pembangunan, malah ia adalah syurga percutian sekiranya ingin lari daripada kesibukan kota.

Berlatarkan suasana selesa di kawasan bersuhu lembap dan dingin, Shahzan Inn menawarkan 94 unit bilik daripada junior suite, VIP suite, bilik keluarga, bilik deluxe dan apartmen dengan balkoni persendirian.

SELESA...berehat di bilik deluxe yang serba lengkap.
SELESA…berehat di bilik deluxe yang serba lengkap.

Rangkaian bilik boleh dipilih sama ada di depan taman bunga menyegarkan atau kehijauan padang golf dengan kemudahan Internet, gelanggang bola tampar serta pakej bermain golf yang menarik.

Bilik tetamu dihiasi perabot kayu bergaya dengan pemandangan padang golf yang menakjubkan dari sudut balkoni.

Semua bilik dilengkapi kemudahan asas yang memenuhi keperluan dan keselesaan pengunjung.

Penginapan serba lengkap sesuai untuk individu, pasangan, keluarga dan syarikat yang inginkan persekitaran tenteram dilatari kedinginan alam, selesa, luas serta moden.

Mahkota Alam Ballroom boleh memuatkan hingga 300 orang, Muda Boardroom A & B yang lebih sederhana menerima hingga 70 orang sementara Muda Boardroom C pula berskala untuk memuatkan 20 orang pada satu-satu masa.

Bukan saja tertawan dengan 260 spesies burung dan lebih 100 spesies tumbuhan, pengunjung juga pastinya mengagumi keindahan seni bina yang masih mengekalkan binaan lama kolonial bersesuaian dengan persekitarannya.

Pelbagai aktiviti disediakan untuk pengunjung antaranya menunggang kuda, memanah, merentas hutan, berjalan malam dan aktiviti memerhati burung tempatan mahupun burung hijrah yang terbang dari China dan Siberia.

Cabar diri di lapan laluan hutan yang memberi pengalaman tersendiri iaitu laluan Bishop (1,500 meter (m)), Pine Tree (5,000m), Kindersley (750m), Maxwell (1,800m), Abu Suradi (500m), Mager (1,000m), Rompin (500m) dan Hemmant (1,000m).

Keenakan menu di Restoran Lela Manja menggabungkan keunikan masakan Asia dan Barat yang boleh dinikmati dengan pilihan ala carte serta bufet.

Selain menyajikan masakan organik berkhasiat menerusi herba, sayur dan buah-buahan, kelaparan pengunjung di hangatkan dengan sajian barbeku dan stimbot yang is timewa.

Pengunjung juga tidak berasa jemu dengan percutian tanah tinggi ini, apatah lagi padang golf yang direka dengan sembilan lubang dikelilingi kehijauan hutan.

Shahzan Inn menyediakan pelbagai pakej yang bersesuaian dengan sasaran kumpulan pengunjung ke Bukit Fraser.

Pelbagai pakej menarik disediakan untuk aktiviti memerhati burung, merentas hutan, hari keluarga, mesyuarat, pakej perkahwinan dan berbulan madu.

Resort yang terletak di Daerah Raub ini boleh dikunjungi dengan memandu dari Bentong selama dua jam atau dari Kuala Lumpur melalui Kuala Kubu Bharu.

INFO:-

Lokasi: Jalan lady Guillemard, 49000 Fraser’s Hill, Pahang
Tel: 09-3622300