6a00d83451586c69e200e54f1b552b8833-800wi

Amalan harian yang perlu dijaga secara istiqamah

Amalkan sedikit demi sedikit yang mana termampu. Semoga kita mendapat pahala amalan dan sampaikan juga kepada sesiapa. Aminnn.

1. Solat Tahajud di waktu ¾ malam sekurang-kurangnya 2 rakaat dan solat sunat Witir sekurang-kurangnya 1 rakaat sebelum masuk waktu Subuh. Solat Tahajjud merupakan jalan orang-orang yang soleh, amalan para Nabi dan Wali-wali Allah terdahulu. Jangan ditinggalkan.

2. Selepas solat Subuh, amalkan zikir 300 pagi, 100x tasbih, tahmid dan takbir, 100x selawat dan 100x istighfar. Zikir sangat penting kerana semasa kedatangan DAJJAL hanya zikir sebagai sumber makanan dan minuman. Hanya orang yang benar-benar jaga zikir saja mempunyai sumber makanan dan minuman pada waktu itu. Selainnya akan mengikut DAJJAL untuk mendapatkan makanan dan minuman.

3. Kemudian bacalah Surah Yasin. Allah janji segala hajatnya pada hari itu akan dipenuhi.

4. Selepas 26 minit matahari naik, solat sunat Isyraq 4 rakaat. Allah janji akan menolong kamu menyempurnakan segala urusanmu pada hari itu.

5. Seterusnya solat sunat Dhuha, boleh dilakukan bermula 20 minit selapas Isyraq (di antara jam 8 – 12 tengah hari). Nabi SAW bersabda: “Sesiapa mengerjakan solat Dhuha 2 rakaat, dia tidak tergolong di dalam golongan orang-orang yg lalai dan lupa”. Solat Dhuha juga memudahkan urusan dan memberkati rezeki.

6. Selepas solat Zohor, bacalah surah Ar-Rahman. Nabi SAW bersabda: “Segala sesuatu itu mempunyai mempelai, dan mempelai bagi Al-Quran adalah surah Ar-Rahman”. Surah Ar-Rahman menanam sifat syukur di dalam hati atas nikmat-nikmat Allah dan dengan amalan membaca Surah Ar-Rahman juga sangat baik untuk meningkatkan kecerdasan otak.

7. Selepas solat Asar, amalkan zikir 300 petang, 100x tasbih, tahmid dan takbir, 100x selawat dan 100x istighfar.

8. Kemudian baca Surah An-Naba’. Nabi SAW bersabda: “Jika kamu tahu fadhilat dan besarnya pahala membaca surah An-Naba’, maka kamu akan berhenti daripada tugas-tugas kamu, lalu mempelajari surah tersebut dan mendekatkan diri kepada Allah dengan membacanya. Sesungguhnya Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang mengamalkan membacanya selain dosa syirik”.

9. Selepas solat Maghrib, solat sunat Auwabin. Allah janji akan memberi keampunan terhadap dosa-dosa melainkan dosa syirik kepada-Nya.

10. Kemudian bacalah surah Al-Waqiah. Allah janji sesiapa yang istiqamah mengamalkannya pada setiap malam, kebuluran dan kemiskinan tidak akan menemuinya.

11. Selepas solat Isyak bacalah surah Al-Mulk. Allah janji akan memelihara daripada azab kubur. Nabi SAW tidak akan tidur selagi tidak membaca surah Al-Mulk dan surah As-Sajdah.

12. Setiap malam bacalah Ayatul Kursi dan ‘Amanar-Rasul‘ hingga habis. Sangat-sangat penting untuk melindung diri daripada pengaruh syaitan dan kejahatan

13. Sebelum tidur, solat sunat Taubat dan tidur beradab seperti mana Nabi SAW ajarkan.

14. Setiap malam apabila hendak tidur, muhasabah diri, pohonlah keampunan kepada Allah di atas segala dosa dan bagi setiap amalan yang baik, nyatakan kesyukuran kita kepada Allah.

15. Sebelum tidur, fikir dan renunglah (muqarabah) juga mengenai mati dan peristiwa-peristiwa selepas maut. Muqarabah adalah perlu untuk membentuk sifat taqwa.

16. Setiap hari bacalah al-Quran (Tilawatul Quran) walaupun hanya satu ‘ain’. Latihan tilawah sangat memberi kesan kepada hati. Hati yang tidak ada al-Quran seumpama hati yang mati. Pembacaan Al-Quran janganlah ditinggalkan. Hak Al-Quran adalah perlu dikatamkan dua kali setiap tahun.

17. Setiap pagi Jumaat bacalah surah Al-Kahfi, kalau tak mampu habiskan seluruh surah, bacalah seberapa banyak yang boleh. Allah janji ‘cahaya’ di hari kiamat dan diampunkannya diantara dua Jumaat. Nabi SAW bersabda: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit“.

18. Hendaklah hati dan lidah sentiasa sibuk dengan berzikir didalam apa juga kegiatan sama ada berjalan, duduk atau bekerja. Berzikirlah ‘Lailahailallah’ sebagai amalan tetap dan berkekalan.

19. Puasa sunat Isnin dan Khamis, juga puasa sunat pada hari-hari yang digalakkan dalam Islam. Untuk puasa-puasa sunat, isteri mintalah keizinan daripada suami.

20. Cubalah sedaya-upaya berada dalam keadaan berwuduk. Sabda Nabi SAW: “Wuduk adalah senjata orang-orang mukmin“. Faedah wuduk sangat besar.

21. Ketika datang haid, jangan tinggalkan zikrullah. Meninggalkan zikir akan mengeraskan hati dan melayukan cahaya rohaniah bagi hati.

22. Sentiasa berusaha melawan hawa nafsu. Jagalah mata, telinga, lidah dan hati. Mengumpat dan mengata-ngata orang lain adalah bencana yang sangat besar. Ia melenyapkan pahala dan kesan ibadat.

 

Tafaddal minkum.